Dr. Wan Asma Wan Ismail, atau lebih mesra dipanggil Dr. Wan, adalah seorang anak jati Kelantan yang dilahirkan di Machang, Kelantan. Beliau merupakan seorang Doktor dan Pakar Perunding Kanak-kanak yang berpengalaman. Setelah menerima ijazah pertamanya MD (Doktor Perubatan) dari Universiti Kebangsaan Malaysia, beliau telah melanjutkan pelajarannya dalam bidang perubatan di United Kingdom.
Beliau dilahirkan pada tahun 1959, dan berkahwin pada tahun 1981 dan kini dianugerahkan Allah tujuh orang cahaya mata, yang terdiri daripada lima orang puteri yang comel-comel dan dua orang putera yang manja. Mereka banyak menjadi sumber ilham kepada Dr. Wan Asma dalam penulisan buku-bukunya. Beliau juga banyak mendapat dorongan dari suaminya yang tersayang, iaitu Dr. Ibrahim bin Abdullah, seorang Pakar Perunding Jantung.
Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Pangkal Jenereh, Machang dan Sekolah Menengah Kampung Pek, Machang, Kelantan. Beliau melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jitra, Kedah, dan seterusnya menjalani kursus matrikulasi selama satu tahun di Sekolah Seri Puteri, Jalan Kolam Ayer, Kuala Lumpur.
Beliau pernah bertugas sebagai seorang pensyarah dan pakar kanak-kanak di Jabatan Kanak-kanak, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kini beliau bertugas sebagai pakar kanak-kanak sepenuh masa di Hospital Pakar Perdana, Kota Bharu, Kelantan.
Ijazah MD (Doktor Perubatan) dari Universiti Kebangsaan Malaysia
Ijazah sarjana di dalam bidang Kesihatan Kanak-kanak Dalam Masyarakat (MSc in Community Paediatrics) dari University of London
Royal College of Paediatrics and Child Health